Rabu, 8 Disember 2010



TIMERMAN mengumumkan Argentina turut mengiktiraf Palestin sebagai negara bebas pada sidang akhbar di Brazil,
Dibuat ikut garis sempadan ditentukan pada 1967 

BUENOS AIRES: Argentina dan Uruguay kelmarin berkata mereka akan bersama Brazil dalam mengiktiraf negara Palestin yang bebas, yang mendapat pujian daripada pegawai Palestin, tetapi bantahan keras Israel.
Israel menyifatkan pengisytiharan Buenos Aires itu sebagai ‘mengecewakan’ dan berkata ia menentang persetujuan Israel-Palestin bahawa negara itu hanya boleh diiktiraf dengan persetujuan Israel.


Kecaman itu sama dengan pendirian Israel selepas Brazil memulakan pergerakan Amerika Selatan Jumaat lalu dengan menyatakan ia mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan 1967, sebelum Peperangan Enam Hari iaitu Israel merampas Gaza dan Tebing Barat.

Namun Presiden Palestin, Mahmud Abbas, dalam lawatan ke Turki, menyatakan ‘kebanggaannya’ berhubung pendirian Buenos Aires itu, menurut kenyataan rasmi.
Menteri luarnya, Riad al-Malki, berkata rakyat Palestin berharap ‘Paraguay dan negara Amerika Latin lain akan juga membuat keputusan sama’.

“Kerajaan Argentina mengiktiraf Palestin sebagai negara bebas mengikut garis sempadan yang ditentukan pada 1967,” kata Menteri Luar Argentina, Hector Timerman, membacakan surat yang dihantar oleh Presiden Cristina Kirchner kepada Abbas.
Timerman berkata pengiktirafan itu mencerminkan persetujuan sebulat suara negara anggota Mercosur, blok perdagangan Amerika Selatan.

Uruguay kemudian mengumumkan bahawa ia akan mengiktiraf sebuah negara Palestin tahun depan.

“Uruguay akan pasti menyusuli langkah sama seperti Argentina pada 2011,” kata Timbalan Menteri Luar, Roberto Conde. “Kami sedang berusaha untuk membuka perwakilan diplomatik di Palestin, kemungkinan besar di Ramallah.” Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay semuanya anggota Mercosur. Keanggotaan Venezuela sedang dipertimbangkan.

Langkah itu berdasarkan “kehendak mendalam untuk melihat kemajuan dalam proses rundingan yang boleh membawa kepada kewujudan keamanan berkekalan di Asia Barat,” kata Timerman. – AFP


Sumber Berita Harian




- Copyright © Oh! Dunia -Shinpuru v2- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -