Ahad, 28 November 2010
Mungkin ramai yang menganggap bahawa apa yang terjadi di Palestin selama 62 tahun ini tidak ada kena mengena dengan kita, bahkan mungkin ada suara-suara yang mengatakan bahawa rakyat Palestin sepatutnya berdamai sahaja dengan Israel agar tidak perlu lagi berperang dan mungkin juga ada yang mengatakan bahawa mereka patut mencontohi kita, bertolak ansur, bertoleransi dan dapat hidup dalam masyarakat majmuk dengan aman damai. Mungkin ada benarnya apa yang disuarakan oleh suara-suara tersebut , tapi seharusnya kita mengetahui sedikit susur galur berkenaan dengan sejarah penjajahan Palestin sebelum kita membuat andaian berkenaan dengan penderitaan mereka.
Apa yang perlu kita semua tahu adalah Negara haram Israel di Palestin tidak terbina hanya dengan simpati dunia terhadap tragedi holocaust semasa perang dunia ke dua mahupun hasil rundingan pihak British dengan kerajaan Palestin secara berlemah lembut, akan tetapi proses penubuhannya adalah hasil usaha yang tersusun rapi dan penjajahan yang penuh dengan keganasan dan penipuan dan proses ini bermula sejak dari 1896 lagi. Penubuhan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa hasil satu persidangan di Basle Switzerland pada Ogos 1897 adalah titik tolak kepada penubuhan Negara Yahudi di Palestin. Diikuti dengan Deklarasi Balfour yang digerakkan oleh pihak British pada November 1917 yang menjamin penubuhan sebuah negara khusus untuk Yahudi di Palestin. Hasil daripada deklarasi ini, tentera British telah menjajah Palestin dan membuka sempadan Palestin untuk diduduki oleh ratusan ribu pendatang haram Yahudi yang datang dari seluruh Eropah. Golongan pendatang ini dengan dilindungi oleh tentera British telah merampas tanah rakyat Palestin dan membina penempatan haram mereka diatas tanah rakyat Palestin.
Proses rampasan tanah, pembunuhan beramai – ramai, pengusiran secara besar-besaran telah menyaksikan lebih dari 60 % rakyat Palestin telah diusir ke luar negara. Daripada 580 buah perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum 1948, 478 buah kampung telah dimusnahkan dan wujud lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai. Siapa yang boleh melupakan Deir Yassin pada April 1948 dimana 254 jiwa termasuklah orang tua, wanita dan kanak-kanak disembelih tanpa belas kasihan.
Hakikat sebenarnya adalah setiap inci penempatan Yahudi sekarang telah dibina diatas titisan darah dan airmata rakyat Palestin yang dibunuh dan dihalau saban hari selama 62 tahun. Sehingga kini (2010), Israel telah menguasai lebih 90% dari keseluruhan bumi Palestin dan peratusan itu kian meningkat hari demi hari.
Bukan sahaja tanah yang dirampas, malahan rakyat Palestin terus dinafikan hak asasi mereka sebagai manusia. Sekatan ekonomi terhadap Gaza telah menyebabkan rakyat Gaza semakin tersepit, penangkapan dan pemenjaraan rakyat Palestin saban hari dilakukan walau terhadap kanak kanak dan wanita yang hamil dan sakit. Satu sumber menyatakan bahawa sehingga kini terdapat lebih 12 ribu tahanan Palestin yang merengkuk dalam penjara Israel. Siapa yang boleh menafikan kekejaman Israel apabila mereka membina tembok gergasi terpanjang didunia (720km) dan menjadikan Tebing Barat sebagai penjara terbesar dunia. Dijangkakan juga terdapat 6.45 juta pelarian rakyat Palestin yang hidup penuh kedaifan semenjak 60 tahun, jika anda tidak mempercayainya, lakukanlah lawatan ke kem-kem pelarian Palestin di Jordan dan saksikan sendiri kedaifan mereka. Terkini, laman web al Jazeera melaporkan bahawa ulama besar yahudi telah meluluskan fatwa menghalalkan darah warga Arab Palestin (Islam & Kristian).
Bumi Palestin bagi umat Islam adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana disitulah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan kiblat kita yang pertama, tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj dan bumi para nabi. Isu Palestin adalah tanggungjawab umat Islam keseluruhannya, bukanlah tangunggjawab Arab, bukanlah tanggungjawab Hamas dan Fatah semata-mata. Membebaskan Palestin adalah fardhu terhadap seluruh umat islam diatas muka bumi ini.
Setelah 62 tahun mereka hidup dalam penderitaan, mereka masih lagi menunggu bantuan dari umat Islam seluruh dunia untuk membebaskan mereka dari cengkaman zalim pihak Yahudi, sempena 62 tahun penjajahan yang penuh kezaliman ini, marilah kita sama-sama memperingati akan kezaliman ini, mendoakan pembebasan umat Islam di Palestin dan berbuat sesuatu sementara hayat kita masih ada bagi meringankan penderitaan yang mereka alami selama 62 tahun ini.
sumber:islaminfo.co.cc
Catat Ulasan