Isnin, 8 Ogos 2011

SABAN tahun secara tradisinya, kedatangan Ramadan menandakan permulaan musim zakat fitrah. Tentu kita masih ingat datuk dan nenek, ibu dan bapa berpesan supaya tiada sesiapa pun terlupa menunaikan zakat fitrah. Bagi mereka, tanpa zakat fitrah maka puasa tidak akan sempurna.


Masa berubah, pandangan hidup juga berubah. Dewasa ini Ramadan yang datang dijadikan bulan penuh agenda, termasuklah dalam bab sedekah dan fitrah. Jika dulu sedekah hanya dalam skala kecil, kini sedekah sudah menjadi agenda besar.
Orang yang kaya dan mampu, mereka tidak berkira menaja orang lain berbuka puasa sehingga kosnya mencecah ribuan ringgit. Hakikatnya, di masjid dan surau di bandar besar, fenomena ini semakin berleluasa.


Dalam konteks zakat juga, Ramadan tidak lagi sekadar dianggap musim bagi menunaikan zakat fitrah semata-mata. Umat Islam hari ini sering diingatkan Ramadan ialah bulan melestarikan kebajikan harta pelbagai cara khususnya zakat dengan motivasi pahala berganda.


Semuanya bertujuan supaya umat Islam menjadi rajin bersedekah dan berzakat, malah melebihi daripada bulan lain. Pada hari ini, terbitlah rangkaian kata-kata contohnya ‘Ingat Ramadan Ingat Zakat; Bukan Sekadar Zakat Fitrah’ ataupun ‘Zakat Pada Ramadan; Bukan Sekadar Fitrah’.


Motifnya hanya satu, iaitu menjentik minda umat Islam supaya memahami bahawa dalam hidup mereka, zakat itu tidak sekadar diwajibkan dengan zakat fitrah tetapi juga terpikul di pundak mereka kewajipan zakat harta yang lebih besar tanggungjawabnya.


Hakikatnya, zakat fitrah hanyalah satu juzuk daripada kewajipan harta. Ia diwajibkan kepada Muslim, sesuai dengan roh Ramadan yang mewajibkan ibadah puasa kerana dengannya akan menjadikan setiap orang tahu erti kesusahan dan penderitaan orang lain yang kurang upaya.
Memberikan zakat fitrah pada akhir Ramadan ibarat melengkapi sebuah perjalanan dalam menuntaskan mujahadah menggapai kasih sayang Allah SWT dan kasih sayang sesama manusia.


Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah bagi tujuan menyucikan orang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud)


Namun, amalan hari ini menyaksikan agihan zakat dilakukan lebih awal. Ia tidak lagi diberikan kepada fakir dan miskin pada penghujung Ramadan. Dengan bantuan awal ini, diharapkan mereka dapat membeli keperluan dengan lebih selesa, sama seperti orang lain yang berkemampuan.


Bagi Selangor, 19,008 keluarga dalam kalangan asnaf fakir dan miskin menerima bantuan zakat sejak pertengahan Julai lagi. Manakala di sesetengah negeri lain, jumlah bantuan fakir dan miskin telah dinaikkan pada Ramadan ini.


Realitinya, memberikan keperluan kepada fakir dan miskin memang dituntut Islam. Apatah lagi dalam suasana menyambut Ramadan dan hari raya, maka ia menjadi lebih mendesak. Maka, atas dasar itu Rasulullah SAW menjadikan Ramadan sebagai medan menyuburkan sedekah.


Oleh itu, hendaklah kita sedar menyantuni golongan fakir dan miskin memang menjadi tugas utama kepada setiap Muslim. Bahkan tidak sempurna iman seseorang Muslim itu, jika dia membiarkan saudara seagamanya berada dalam kelaparan, sedang dia diulit kekenyangan.


Keutamaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memastikan asnaf fakir dan miskin diberikan hak sewajarnya. Hal ini sejajar ketetapan fatwa dan syariat bahawa asnaf fakir dan miskin adalah asnaf utama (muqaddam) berbanding enam asnaf lain.


Justeru, keperluan mereka hendaklah disalurkan secara menyeluruh. Tujuannya, supaya zakat itu mampu memenuhi lompang keperluan mereka, apatah lagi pada saatnya seluruh umat Islam lain sedang bersiap sedia menghadapi gelombang Ramadan dan hari raya.


Di Selangor, jumlah minimum bantuan bagi keluarga tanpa tanggungan anak ialah RM550, manakala maksimum sehingga RM1,000. Jumlah ini walau agak terhad, namun secara relatifnya dianggap relevan dengan keperluan asnaf, termasuklah membeli baju baru untuk anak-anak berhari raya.


Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud: “Penuhilah keperluan mereka (fakir dan miskin) pada hari (Aidilfitri) itu (supaya mereka tidak meminta-minta).” - (Hadis riwayat Baihaqi dan Daruquthni)


Oleh itu, berzakatlah kita selagi ada, kerana dalam harta kita itu sudah ada hak mereka yang sudah tersedia.


Penulis ialah Eksekutif Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS)

- Copyright © Oh! Dunia -Shinpuru v2- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -