Selasa, 23 November 2010



Kongsikan di Facebook




Imam Malik radiallahu'anhu telah menjelaskan kepada kita bahawa wang ialah apa-apa barangan yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan tukaran. Menurut sejarah Islam, tiada barangan yang boleh dipaksa menjadi wang kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja barangan sebagai tukaran. Wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat tidak ada sifat 'ayn (barangan lazim yang ketara) malahan nilainya dipaksa oleh kuasa pasaran. Jika kertas dianggap sebagai barangan pun nilainya hanyalah mengikut berat kertas dan bukan menurut nilai nombor yang tertera di atasnya.
Wang kertas mungkin hanya boleh dianggap sebagai 'dayn' kerana ianya bukan barangan ketara atau sebagai resit hutang untuk pemilikan emas atau perak (itu pun jika ada sandaran antara kertas dengan emas). Tetapi hukum Islam tidak membenarkan hutang dijadikan suatu bahan tukaran. Penggunaannya pun mestilah terhad sebagai kontrak peribadi. Di dalam Kitab Al-Muwatta (31.19.44) ada diriwayatkan tentang resit-resit yang dijual beli di Pasar Al-Jar sebelum barangan sampai. Marwan ibn al-Hakam telah menghantar pengawalnya untuk mengambil semula resit tadi dan mengembalikan kepada tuan asalnya.
Sejarah Islam telah menunjukkan kepada kita bahawa wang emas (Dinar) dan wang perak (Dirham) telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan Islam Turki. Piawaian menurut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab radiallahu'anhu menentukan iaitu 10 dirham bersamaan dengan 7 dinar. Setiap Dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap Dirham ada 3 gram perak. Dinar dan Dirham telah digunakan untuk urusan perniagaan, menabung dan juga untuk membayar zakat (Umar Vadillo 1996).
Umar Vadillo juga menyatakan dalam buku yang sama bahawa Shaykh Muhammad 'Illish (1802-1881), seorang pakar pengajian fikah di Universiti Al-Azhar telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang kertas tidak dizakatkan sebagaimana wang emas dan wang perak kerana ia dianggap sebagai fulus (wang syiling tembaga) atau loose change. Ia hanya mewakili wang dan tiada nilai barangan. (Lihat fatwa beliau dalam terjemahan Al-Fath Al-'Ali Al- Maliki ms 164-165).
Wang kertas bukan barangan. Jika hendak dizakat pun mestilah diukur menurut berat bukan menurut nilai tertulis yang boleh pula berubah nilai tukarannya dengan wang kertas lain.
Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian Umar Vadillo juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu....." (ayat 59 dari surah An-Nisa)
Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam 7 perkara. Hal pertamanya ialah penempaan Dinar dan Dirham dan yang lainnya ialah menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu'ah, Hari Raya (Puasa dan Korban) dan Jihad.
Wang sejati yang bebas dari spekulasi menandakan bahawa kerajaan juga merdeka dan bebas dari spekulasi. Tiada kemerdekaan tulen selagi tiada mata wang tulen. Tidak hairanlah Al-Qurtubi meletakkan perkara Dinar dan Dirham sebagai perkara utama tentang patuh dan taat kepada pemerintah.






- Copyright © Oh! Dunia -Shinpuru v2- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -