Ahad, 17 Februari 2013
Seorang wanita membawa sebiji epal. Ditangannya ada sebilah pisau. Dia mahu seorang rakan wanita yang dikenalinya merasai buah tersebut. Rasanya sedap. Dia mahu rakannya itu merasainya. Lalu dia berjalan menuju ke rumah sahabatnya. Dia mula mengetuk pintu.
Apabila sahabatnya membuka pintu dan menjemputnya masuk, lantas dia menghunus pisau tersebut dan diletakkan pada leher sahabatnya. ‘Makan buah itu cepat! Kalau tidak, kau akan mendapat masalah!’. Benar pada waktu itu si sahabat itu akan makan epal tersebut kerana terpaksa. Tetapi bukankah selepas itu, dia akan menjadi trauma setiap kali terpandang kepada buah epal? Niat mereka di dalam gambar di bawah ini baik, tetapi perlaksanaannya lebih banyak merosakkan dari memperbetulkan.
Kita semua perlu berhenti dari menjadi teroris! Sampaikan dakwah secara hikmah. Berikan berita baik terlebih dahulu dan kemudian bercakap tentang dua kesudahan yang menunggu diakhirat. Beritahukan secara hikmah dan kreatif yang mengundang rasa mahu berkenaan dengan kesudahan baik dan kesudahan yang buruk yang menanti diakhirat. Malah ayat-ayat menutup aurat di dalam al Qur’an juga memberi keutamaan penjelasan kepada aspek kebaikan perbuatan berbanding hukuman yang menanti diakhirat.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah An Nur ayat 31.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Surah Al-Ahzab : Ayat 59
Perhatikan ayat-ayat di atas. Apakah kita mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di dalam al Qur’an? Apakah tindakan kita itu sama dan selari dengan apa yang disebut dalam al Qur’an?
Ini tidak, belum suruh makan sudah diletakkan pisau dileher. Bukankah lebih baik jika pisau itu digunakan dengan cara baik, iaitu dengan membuang kulit epal itu terlebih dahulu, kemudian epal itu dipotong satu persatu dan dibuang biji-bijinya dan kemudian dihidangkan dengan kreativiti yang membolehkan sahabat tadi sangat terasa ingin menjamahnya?
Bukankah lebih baik jika kain rentang itu berbunyi. “Jagalah Batasan Aurat Kerana Ia Formula Kejayaan” atau “Tutuplah Aurat Kerana Ia Simbol Pembebasan Wanita,” atau mungkin seperti ini “Dengan Menutup Aurat Kami Tunduk Kepada Allah Dan Bukan Tunduk Kepada Kemahuan Lelaki,”.
Jadi, janganlah wanita comel dalam gambar ini mengulangi tindakan seumpama ini lagi. Boleh berdakwah. Tapi lakukanlah dengan cara hikmah. Ini kerana kita takut pada ketika kita merasakan tubuh zahir kita disaluti kain yang cukup dan tidak bertelanjang, tetapi hati kita tidak dipakaikan dengan pakaian takwa yang cukup sehingga menyebabkan hati dan keimanan kita bertelanjang. Maka jadilah semakin ramai umat Islam di akhir zaman ini, berpakaian tetapi bertelanjang. Tidak setakat bertelanjang pakaian zahir, malah pakaian takwa juga tertanggal dan terlondeh hanya kerana kita merasakan kita lebih baik dari orang-orang yang lain. Jangan kita lupa bagaimana tipu daya licik sang Iblis sehingga menyebabkan datuk kita semua iaitu Adam a.s. dan Hawa a.s. terhumban keluar dari Jannah.
Adam dan Hawa a.s. ketika menjamah buah khuldi, mereka melakukannya dengan niat untuk mendekatkan diri mereka lebih dekat kepada Allah. Pada fikir mereka yang telah diperdayakan iblis pada ketika itu, dengan memakan buah Khuldi, mereka akan dapat menjadi hebat dalam melakukan amal ibadat seperti para malaikat. Tanpa mereka tahu, Iblis menunggang semangat mahu beramal ibadat mereka kepada Allah dengan memasukkan tipu daya kepalsuan supaya mereka melakukan sesuatu yang Allah s.w.t. jelas larang. Maka terlucutlah pakaian mereka dan terkeluarlah mereka dari Jannah hanya kerana mereka tertipu dengan tipu daya Iblis ketika mereka cuba berusaha mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t.
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (al a’raaf ayat 26 hingga 27)
Kita semua perlu bermuhasabah. Hari ini mungkin kita berpakaian. Hari esok, Allah sahaja yang tahu. Sebaik-baik pakaian yang melindungi ialah pakaian takwa. Dengannya, Insya Allah, kita akan terlindung dari tergolong dalam golongan berpakaian tetapi bertelanjang di akhir zaman ini. Semoga Allah melindungi kita dari tipu daya licik syaitan. Ameen..
Catat Ulasan