Memaparkan catatan dengan label lain-lain. Papar semua catatan

Nikmat itu terbahagi tiga:
1. Nikmat yang dikecapi dan disedari oleh hamba.
2. Nikmat mendatang yang diidamkan oleh hamba.
3. Nikmat yang dikecapi oleh hamba tetapi tidak disedarinya.
Apabila Allah ingin menyempurnakan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya, Dia akan mengenalkan (kepada hamba tersebut) nikmat yang dikecapinya sekarang kepada hamba tersebut dan mengurniakan kepadanya sifat syukur.
Syukur itu akan mengikat nikmat tersebut agar tidak hilang. Sesungguhnya nikmat hilang dengan perlakuan maksiat dan diikat dengan ketaatan.
Kemudian Allah akan menunjukkannya jalan amal agar dia mendapat nikmat yang dinantikan.
Kemudian Allah akan menunjukkan kepadanya jalan mati (yang tidak bersambung kepada amal) dan menjauhkannya dari jalan itu. Allah akan menunjukkannya cara agar dia menjauhi jalan itu.
Apabila dia menyempurnakan semua itu, Allah akan memperkenalkannya terhadap nikmat yang dikecapinya sekarang tetapi tidak beliau menyedarinya.
Diceritakan bahawa seorang Badwi masuk menemui Harun ar-Rasyid lalu berkata: "Wahai Amirul Mu'minin. Moga-moga Allah mengekalkan nikmatmu sekarang dengan kamu sentiasa mensyukurinya. Moga-moga Allah mengurniakan nikmat yang kamu harapkan dengan kamu bersangka baik terhadap-Nya dan sentiasa mentaati-Nya. Moga-moga Allah akan mengenalkanmu kepada nikmat yang kamu kecapi sekarang tetapi kamu tidak mengetahuinya agar kamu mensyukurinya." -Ibnul Qayyim al-Jauzi
Sumber: I Luv Islam.Com
Manusia terima pembalasan ikut amalan ketika dibangkitkan semula
Soalan:SAYA hendak tahu kenapa ada banyak nama kiamat, apakah faedah atau hikmah disebut nama kiamat yang pelbagai. Harap ustaz dapat jelaskan, terima kasih.RAHIM,


Johor.


Jawapan:
ALHAMDULILLAH wassolatuwassalam ala rasulillah wa bad. Hari Kiamat iaitu hari yang didahului dengan kemusnahan alam semesta. Justeru, pada hari itu akan matilah seluruh makhluk yang masih hidup.


Bumi akan berganti iaitu bukannya bumi atau langit yang ada sekarang. Seterusnya Allah SWT mencipta alam lain yang disebut alam akhirat. Di situlah seluruh makhluk akan dibangkitkan, iaitu dihidupkan lagi selepas mereka mati. Rohnya dikembalikan dalam tubuhnya. Dengan itu mereka akan mengalami kehidupan yang kedua kalinya.
Selepas dibangkitkan (di baats), lalu setiap jiwa akan dihisab (dihitung) seluruh amalannya, baik yang berupa kebaikan atau keburukan. Oleh itu, sesiapa yang kebaikannya dapat melebihi keburukan, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga, sedangkan siapa yang keburukannya lebih banyak daripada kebaikannya, maka akan dimasukkan Allah ke dalam neraka.


Kitab al-Quran memberikan perhatian yang istimewa terhadap pemantapan keimanan pada hari Akhirat. Contohnya, dihubungkan beriman hari akhirat itu dengan keimanan kepada Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: Tetapi yang disebut kebaikan itu adalah seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Begitu juga surah al-Baqarah ayat 62 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman, orang Yahudi, orang Nasrani dan orang shabiin (pengikut nabi-nabi terdahulu), sesiapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mengerjakan kebaikan, mereka itulah yang memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada ketakutan atas mereka serta mereka tidak menaruh dukacita.


Kedua, amat banyak sekali penjelasan hal hari kiamat yang disebut al-Quran, bahkan hampir tiada satu surah yang tidak memuatkan perbahasan mengenainya. Dihuraikan juga hal yang dapat mendekatkan pemahamannya untuk jiwa dan kalbu.


Kadang-kadang dengan menggunakan keterangan dan kupasan yang nyata, kadang-kadang dengan membuat contoh atau perumpamaan.


Ketiga, sesiapa yang suka mengikuti isi al-Quran dan meneliti ayatnya, tentu dia mengetahui bahawa Allah SWT tidak mengemukakan hari kiamat dengan satu nama saja, tetapi menggunakan nama-nama berlainan dan setiap nama itu menunjukkan pengertian apa yang terjadi pada hari terbabit. Semua berupa kesukaran dan kesengsaraan belaka.


Misalnya dinamakan hari kiamat dengan yaumul baats (hari kebangkitan). Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari baats (kebangkitan atau bangkit dari kematian).


Dinamakan juga dengan yaumul qiyamah (Hari Kiamat) seperti firman-Nya dalam surah az-Zumar ayat 60 yang bermaksud: Pada yaumal qiyamah (Hari Kiamat), engkau lihat orang yang berkata bohong mengenai Tuhan itu, muka mereka hitam semuanya.


Dinamakan juga dengan saaah (saat) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat 1 yang bermaksud: Saat (Hari Kiamat) itu telah dekat dan bulan pun terbelah.


Dinamakan juga akhirat seperti firman-Nya dalam surah al-Ala ayat 16 hingga 17 yang bermaksud: Tetapi kamu semua lebih mengutamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.


Dinamakan juga yaumiddin (Hari Pembalasan) seperti firman-Nya dalam ayat 3 surah al-Fatihah yang bermaksud: (Allah) yang menguasai Hari Pembalasan (yaumiddin). Dinamakan juga yaumul hisab (Hari Perhitungan)


Seperti firman-Nya dalam ayat 27 surah Ghafir yang bermaksud: Sesungguhnya aku melindung diriku kepada Tuhanku dan Tuhanmu semua dari setiap orang yang sombong yang tidak mempercayai hari hisab (yaumul hisab).


Dinamakan yaumul fathi (Hari Kemenangan) seperti firman-Nya dalam ayat 29 surah as-Sajdah yang bermaksud: Katakanlah `pada hari fath (kemenangan) ini tidak berguna keimanan bagi orang kafir itu dan mereka itu tidak akan diperhatikan.


Sebenarnya banyak lagi nama Hari Kiamat yang menunjukkan keadaan atau apa yang terjadi ketika itu seperti yaumuttalaaq, yaumul khuluud, yaumul khuruuj dan sebagainya yang tak dapat saya huraikan satu persatu.


Demikianlah, wallahualam.
Tag :, Tag :, Tag :
SABAN tahun secara tradisinya, kedatangan Ramadan menandakan permulaan musim zakat fitrah. Tentu kita masih ingat datuk dan nenek, ibu dan bapa berpesan supaya tiada sesiapa pun terlupa menunaikan zakat fitrah. Bagi mereka, tanpa zakat fitrah maka puasa tidak akan sempurna.


Masa berubah, pandangan hidup juga berubah. Dewasa ini Ramadan yang datang dijadikan bulan penuh agenda, termasuklah dalam bab sedekah dan fitrah. Jika dulu sedekah hanya dalam skala kecil, kini sedekah sudah menjadi agenda besar.
Orang yang kaya dan mampu, mereka tidak berkira menaja orang lain berbuka puasa sehingga kosnya mencecah ribuan ringgit. Hakikatnya, di masjid dan surau di bandar besar, fenomena ini semakin berleluasa.


Dalam konteks zakat juga, Ramadan tidak lagi sekadar dianggap musim bagi menunaikan zakat fitrah semata-mata. Umat Islam hari ini sering diingatkan Ramadan ialah bulan melestarikan kebajikan harta pelbagai cara khususnya zakat dengan motivasi pahala berganda.


Semuanya bertujuan supaya umat Islam menjadi rajin bersedekah dan berzakat, malah melebihi daripada bulan lain. Pada hari ini, terbitlah rangkaian kata-kata contohnya ‘Ingat Ramadan Ingat Zakat; Bukan Sekadar Zakat Fitrah’ ataupun ‘Zakat Pada Ramadan; Bukan Sekadar Fitrah’.


Motifnya hanya satu, iaitu menjentik minda umat Islam supaya memahami bahawa dalam hidup mereka, zakat itu tidak sekadar diwajibkan dengan zakat fitrah tetapi juga terpikul di pundak mereka kewajipan zakat harta yang lebih besar tanggungjawabnya.


Hakikatnya, zakat fitrah hanyalah satu juzuk daripada kewajipan harta. Ia diwajibkan kepada Muslim, sesuai dengan roh Ramadan yang mewajibkan ibadah puasa kerana dengannya akan menjadikan setiap orang tahu erti kesusahan dan penderitaan orang lain yang kurang upaya.
Memberikan zakat fitrah pada akhir Ramadan ibarat melengkapi sebuah perjalanan dalam menuntaskan mujahadah menggapai kasih sayang Allah SWT dan kasih sayang sesama manusia.


Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah bagi tujuan menyucikan orang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud)


Namun, amalan hari ini menyaksikan agihan zakat dilakukan lebih awal. Ia tidak lagi diberikan kepada fakir dan miskin pada penghujung Ramadan. Dengan bantuan awal ini, diharapkan mereka dapat membeli keperluan dengan lebih selesa, sama seperti orang lain yang berkemampuan.


Bagi Selangor, 19,008 keluarga dalam kalangan asnaf fakir dan miskin menerima bantuan zakat sejak pertengahan Julai lagi. Manakala di sesetengah negeri lain, jumlah bantuan fakir dan miskin telah dinaikkan pada Ramadan ini.


Realitinya, memberikan keperluan kepada fakir dan miskin memang dituntut Islam. Apatah lagi dalam suasana menyambut Ramadan dan hari raya, maka ia menjadi lebih mendesak. Maka, atas dasar itu Rasulullah SAW menjadikan Ramadan sebagai medan menyuburkan sedekah.


Oleh itu, hendaklah kita sedar menyantuni golongan fakir dan miskin memang menjadi tugas utama kepada setiap Muslim. Bahkan tidak sempurna iman seseorang Muslim itu, jika dia membiarkan saudara seagamanya berada dalam kelaparan, sedang dia diulit kekenyangan.


Keutamaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memastikan asnaf fakir dan miskin diberikan hak sewajarnya. Hal ini sejajar ketetapan fatwa dan syariat bahawa asnaf fakir dan miskin adalah asnaf utama (muqaddam) berbanding enam asnaf lain.


Justeru, keperluan mereka hendaklah disalurkan secara menyeluruh. Tujuannya, supaya zakat itu mampu memenuhi lompang keperluan mereka, apatah lagi pada saatnya seluruh umat Islam lain sedang bersiap sedia menghadapi gelombang Ramadan dan hari raya.


Di Selangor, jumlah minimum bantuan bagi keluarga tanpa tanggungan anak ialah RM550, manakala maksimum sehingga RM1,000. Jumlah ini walau agak terhad, namun secara relatifnya dianggap relevan dengan keperluan asnaf, termasuklah membeli baju baru untuk anak-anak berhari raya.


Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud: “Penuhilah keperluan mereka (fakir dan miskin) pada hari (Aidilfitri) itu (supaya mereka tidak meminta-minta).” - (Hadis riwayat Baihaqi dan Daruquthni)


Oleh itu, berzakatlah kita selagi ada, kerana dalam harta kita itu sudah ada hak mereka yang sudah tersedia.


Penulis ialah Eksekutif Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS)
Tag :, Tag :

- Copyright © Oh! Dunia -Shinpuru v2- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -