PETALING JAYA: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berharap kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam" anjuran Kelab Taat Suami dihentikan segera kerana ia jelas menghina Nabi Muhammad SAW.
Mashitah berkata, terdapat banyak aspek ketokohan lain yang terdapat dalam diri Rasulullah yang boleh diketengahkan berbanding melihat baginda sebagai seorang 'tokoh seks'.
"Kita melihat Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan ikutan yang baik. Banyak lagi aspek yang boleh diketengahkan tentang baginda iaitu sebagai tokoh keluarga, tokoh kepimpinan, panglima perang dan banyak lagi yang hebat-hebat.
"Tiba-tiba kenapa sudut ini (seks) yang menjadi fokus mereka?. Ini satu penghinaan dan kempen ini perlu dihentikan segera," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Mashitah berkata kempen selama 12 hari bermula Rabu (hari ini) itu juga dilihat sebagai menghina sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut pada 5 Februari depan.
Tambahnya, istilah 'Tokoh Seks Suci Islam' adalah tidak wajar, malah tidak sesuai digunakan kerana ianya hanya mengundang reaksi negatif di kalangan masyarakat.
Menurut Mashitah, hubungan seksual suami isteri merupakan satu naluri yang diberikan secara semula jadi. Justeru ia tidak patut mempunyai ikon atau dipelajari secara khusus melalui tokoh tertentu.
"Setiap manusia ada naluri seks, naluri makan, naluri tidur, dan sebagainya yang mana setiap naluri itu ada adabnya.
"Naluri tak perlu belajar. Bayi kecil yang lapar tak perlu diajar untuk menangis, orang buta bila mereka kahwin pun dapat anak tanpa perlu tokoh seks untuk ajar mereka.
"Kita kena faham antara adab dan tokoh. Seks tak perlukan tokoh, tapi perlukan adab dan sopan santun," jelasnya.
Mashitah berkata, terdapat cara lain untuk mengajar atau membasmi gejala tidak sihat dalam rumah tangga, selain mengadakan kempen.
"Boleh dibuat secara tertutup. Kahwin ini bukan soal hubungan seksual semata-mata. Perkahwinan melibatkan kasih-sayang, kemesraan, cara layanan dan banyak perkara lain yang boleh difokuskan," tegasnya.
Mengulas istilah 'Seks Suci' yang disebut-sebut penganjur kempen, beliau berkata istilah tersebut juga tidak wujud dalam Islam.
"Dalam Islam tak ada seks suci, seks tak suci. Yang ada hanyalah seks halal yang dilakukan bersama pasangan dan cara yang halal," ujarnya.
Tambah beliau, kempen itu juga seolah-olah menyokong kempen-kempen negara Barat yang pernah menuduh Nabi Muhammad mempunyai nafsu seks yang kuat kerana pernah berkahwin sebanyak 11 kali.
"Kempen ini menggalakkan untuk orang melihat perkahwinan itu semata-mata untuk seks sahaja. Ramai orang tua yang kahwin, tapi bukan untuk seks, tapi sebagai teman hidup dan tujuan lain," katanya.
Kelab Taat Suami yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kerana menerbitkan buku panduan seks telah melancarkan Kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam", di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara dekat sini bermula Rabu.
Berdasarkan petikan menerusi laman blog Dewan Pemuda Pas Wangsa Maju, tujuan kempen itu diadakan bagi mengajak umat Islam terutamanya pasangan suami isteri untuk mengamalkan kehidupan cara Rasulullah termasuklah dari segi amalan seks.
sumber: Mstar
Catat Ulasan